Monday 27 November 2017

DINODAI ITU BIASA DALAM ANGKATAN KOREA UTARA


SELAIN terpaksa tidur dalam keadaan tidak selesa, mandi menggunakan air bukit dan terpaksa membuang air besar atau kecil di hadapan askar lelaki, dinodai pegawai tinggi juga adalah 'normal' untuk askar-askar wanita dalam angkatan tentera Korea Utara.

Seorang bekas tentera yang telah berpaling tadah berkata, ramai askar wanita yang berkhidmat dalam angkatannya 'berhenti datang bulan'.

Lee So Yeon mengatakan beliau tidur dalam keadaan tidak selesa selama 10 tahun bersama berpuluh-puluh askar wanita lain.

Kata So Yeon, wanita sentiasa dikenali sebagai golongan yang mementingkan kebersihan diri tetapi fasiliti di kem-kem tentera 'menyedihkan'.

"Sebagai wanita, salah satu perkara yang kami terpaksa hadapi adalah gagal mandi dengan sempurna," kata So Yeon dipetik laporan BBC.

"Ini kerana tiada air panas. Mereka sambungkan paip ke air dari bukit. Kadang-kadang katak dan ular keluar dari paip," jelasnya.

Anak kepada seorang profesor di sebuah universiti, So Yeon, 41, terpaksa berkhidmat dalam angkatan tentera akibat krisis kebuluran.

Kata So Yeon, berkhidmat dalam angkatan tentera 'menjanjikan' makanan untuk anggota-anggota dan dirinya.


"Kebuluran menyebabkan wanita terdedah kepada ancaman," kata pengarang buku North Korea's Hidden Revolution, Jieun Baek.

"Ramai wanita terpaksa menyertai tentera dan lebih ramai lagi dilayani dengan salah, antaranya menghadapi penderaan dan gangguan seksual.

Kata Jieun, pendedahan oleh So Yeon sama dengan testimoni-testimoni dari anggota tentera lain yang telah berpaling tadah.

So Yeon mengatakan, latihan dan jadual pemakan ketat menyebabkan badan rekrut wanita menjalani perubahan.

"Selepas enam bulan sehingga setahun dalam perkhidmatan, kami tidak lagi mengalami menstruasi kerana tidak cukup zat dan persekitaran yang tertekan.

"Ramai askar wanita kata mereka bersyukur kerana tidak datang bulan. Mereka kata begitu sebab, kalau mereka datang bulan, keadaan akan menjadi lebih teruk untuk mereka," terang So Yeon.

Lebih menjijikan, So Yeon dan askar wanita lain pernah terpaksa menggunakan tuala wanita yang sama berulang kali kerana tentera tidak menyediakan kemudahan yang sepatutnya.

Jieun mengatakan gangguan seksual 'terlalu meluas' dalam angkatan tentera.

So Yeon mengatakan beliau tidak pernah dinodai, tapi ramai rakannya pernah mengalaminya.

"Komander kompeni akan dinodai askar wanita dibawah pimpinannya. Ini akan terjadi berulang-ulang kali tanpa pengakhiran," kata So Yeon.

Seorang lagi pengarang, Juliette Morillot mengatakan tidak ramai askar wanita mahu mengaku dinodai, jadi pelakunya sentiasa akan terlepas.

Morillot menambah, segala penindasan yang berlaku terhadap askar wanita adalah kerana unsur patriarki yang berleluasa dalam angkatan tentera Korea Utara.

Patriarki juga menyebabkan askar wanita disuruh melakukan lebih banyak kerja berbanding askar lelaki.

Unsur patriarki adalah keadaan dimana golongan wanita dipandang rendah oleh golongan lelaki dan ditindas secara terbuka.

"Keganasan domestik masih diterima dan tidak dilaporkan (di Korea Utara) dan ianya situasi sama dalam angkatan tentera," jelas Morillot.

So Yeon sebelum ini bertugas sebagai seorang sarjan di sempadan Korea Utara-Korea Selatan dan meninggalkan angkatan tentera ketika berusia 28 tahun.

Pada 2008, beliau membuat keputusan untuk melarikan ke Korea Selatan dan beliau ditangkap dan dipenjara setahun selepas tertangkap dalam percubaan pertamanya.

Cubaan kedua So Yeon berlaku sejurus selepas beliau dibebaskan dimana beliau berenang melalui sungai Tumen dan menyeberangi Chia.

Di sempadan, beliau bertemu seorang broker yang memindahkan beliau ke Korea Selatan melalui China.

No comments:

Post a Comment

Lain-lain