Tuesday, 30 May 2017

IMEJ BUNUH DIRI PALING INDAH


JIKA bercakap soal bunuh diri, tiada apa yang indah tambahan lagi jika gambar yang dirakam sudah pasti menampakkan imej yang cukup mengerikan.

Namun, sekeping gambar seorang gadis berusia 23 tahun yang mengakhiri hayatnya dengan terjun dari tingkat 86 Bangunan Empire State, New York, Amerika Syarikat pada 1947 dianggap imej paling cantik di dalam kisah bunuh diri di bangunan ikonik negara itu.

Gambar mayat Evelyn McHale yang dirakam seorang jurugambar pelatih, Robert C. Wiles empat minit selepas gadis itu mati di tempat kejadian masih menjadi bualan apabila dikaitkan dengan kejadian bunuh diri di bangunan itu.


Di dalam imej itu, mayat McHale kelihatan begitu sempurna seolah-olah dia tidur di atas bumbung limosin itu.

Limosin itu yang remuk pula seolah-olah elok membaluti sekujur tubuh McHale yang terbaring sambil kaki bersilang dan lengkap berpakaian cantik ditambah dengan aksesori mutiara dan sarung tangan putih.

Menurut laman web http://rarehistoricalphotos.com, seorang jurugambar pelatih, Robert C. Wiles yang terdengar bunyi kuat dari impak hempasan tubuh McHale itu berlari ke kawasan kejadian dan sempat mengambil gambar gadis sejurus dia mati.

Sebelum itu, seorang anggota polis yang bertugas menjaga lalu lintas di sekitar Fifth Avenue dan 34th Street terlihat sehelai skaf putih melayang dari atas bangunan itu.

Beberapa saat kemudian, anggota itu terdengar bunyi hentakan yang begitu kuat dan orang ramai mula berlari ke arah 34th Street sebaik menyedari ada seseorang jatuh dari atas Bangunan Empire State ke atas sebuah kereta yang diparkir di 34th Street.

Imej yang dirakam Wiles itu kemudian tampil di satu muka surat penuh majalah Life pada tahun itu.

Menurut laporan polis, mayat McHale secara luarannya kelihatan sempurna namun bahagian dalaman telah hancur teruk seolah-olah kesemua organnya mencair ketika diangkat akibat impak jatuh dari ketinggian 320 meter.

Seorang anggota polis pula menemukan sekeping nota yang ditulis oleh McHale di dek pemerhatian Bangunan Empire State, kot berlipat dan kit mekup yang dipenuhi dengan gambar-gambar keluarga McHale.

Nota itu berbunyi: “Aku tidak mahu sesiapa melihat mayatku selepas mati. Bolehkah kamu bakar mayatku nanti? Aku merayu kepada keluarga agar tidak membuat sebarang majlis peringatan untukku. Tunangku mahu mengahwini aku pada Jun. Aku tidak rasa aku mampu jadi isteri yang baik untuk sesiapa pun. Dia lebih baik tanpaku. Beritahu bapa, aku mempunyai banyak keinginan seperti ibuku.”

Sehari sebelum kejadian itu, McHale pada 30 April 1947 menaiki kereta api dari New York ke Easton, Pennsylvania untuk bertemu dengan tunangnya, Barry Rhodes.

Keesokannya, McHale kembali ke bandar raya New York dan terus ke Bangunan Empire State. Dia naik ke tingkat 86 yang menempatkan dek pemerhatian yang dikhaskan untuk orang awam.

Ketika bertemu dengan McHale, Barry langsung tidak nampak sebarang perubahan pada diri tunangnya itu sehingga menyebabkannya mahu membunuh diri sehari kemudian.

“Ketika itu, dia kelihatan normal dan gembira seperti gadis-gadis lain yang bakal berkahwin,” kata Barry.

No comments:

Post a Comment

Lain-lain