Tuesday 4 February 2020

NOVEL CORONA : WABAK PENYAKIT ANTARA 6 TANDA AKHIR ZAMAN, AZAB DARI KEJAHATAN MANUSIA


BERIMAN kepada Allah yang Maha Pencipta lagi Maha Pengatur sesuatu perkara merupakan satu rukun iman yang wajib dipercayai bagi setiap umat Islam. Setiap apa yang terjadi pasti ada hikmahnya sama ada kita mengetahui ataupun tidak. Setiap ujian yang Allah berikan kepada kita adalah untuk menilai sejauh manakah pergantungan kita kepada Allah selain mengajarkan untuk bersedia menempuh ujian akhir zaman sebagaimana yang pesan Rasulullah SAW.

Mutakhir ini, kita dapat melihat bukti kekuasaan Allah dengan tersebarnya koronavirus yang berpunca daripada kejahatan tangan-tangan manusia yang membuat kerosakan di atas muka bumi.
Ia terjadi kerana mereka tidak mengikut panduan yang telah ditetapkan Allah kepada kita.


Firman Allah di dalam Surah Ar-Rum ayat 41 yang maksudnya: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak mereka merasakan sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Tanda akhir zaman

Baginda Rasulullah juga telah mengkhabarkan mengenai peristiwa akhir zaman yang mana akan berlaku penyebaran wabak. Sabda baginda Rasulullah: Dari 'Auf bin Malik RA berkata: Aku pernah menemui Nabi SAW ketika terjadi perang Tabuk dan baginda sedang berada di dalam sebuah khemah yang terbuat dari kulit. Lalu baginda bersabda: Hitunglah enam perkara yang akan terjadi menjelang hari kiamat iaitu:

1. Kematianku

2. Pembebasan Baitulmaqdis (dalam riwayat lain: pemakmuran Baitulmaqdis)

3. Kematian yang menyerang kamu sekalian bagaikan penyakit yang menyerang kambing sehingga mati tiba-tiba

4. Melimpahnya harta benda sehingga ada lelaki yang diberi seratus dinar namun masih marah (kerana merasa kurang)

5. Timbulnya fitnah sehingga tidak ada satu pun rumah orang Arab (dalam riwayat lain: rumah orang Islam) melainkan ia akan memasukinya

6. Akhir sekali perjanjian yang akan berlaku antara kamu sekalian dan bangsa kulit kuning (Bani al-Asfar iaitu Rom), lalu mereka akan mengkhianati perjanjian tersebut dan mereka akan datang menghadapi kalian di bawah lapan puluh (80) panji-panji perang, di bawah setiap panji pula terdiri daripada dua belas ribu (12,000) tentera. - [HR al-Bukhari 2940].

Jika kita merenung dan bermuhasabah dengan apa yang berlaku maka kita akan mengetahui bahawa setiap yang berlaku adalah disebabkan perbuatan kezaliman kita sendiri.






Punca tersebarnya penyakit

Baginda Rasulullah pernah menyebut di dalam sebuah hadis mengenai azab yang Allah akan turunkan kepada umat manusia jika kita melakukan kerosakan itu.

Sabda Rasulullah: Wahai sekalian kaum Muhajirin, ada lima hal yang jika kalian terjatuh ke dalamnya, dan aku berlindung kepada Allah supaya kalian tidak menjumpainya.

1. Tidaklah nampak zina di suatu kaum, sehingga dilakukan secara terang-terangan kecuali akan tersebar di tengah-tengah mereka taun (wabak) dan penyakit-penyakit yang tidak pernah menjangkiti generasi sebelumnya.

2. Tidaklah mereka menipu dalam timbangan kecuali akan ditimpa dengan kemarau berpanjangan serta kezaliman penguasa atas mereka.

3. Tidaklah mereka menahan zakat (tidak membayarnya) kecuali hujan dari langit akan ditahan dari turun ke atas mereka, dan sekiranya bukan kerana haiwan-haiwan (yang sentiasa berzikir kepada Allah), nescaya manusia tidak akan diberikan hujan.

4. Tidaklah mereka melanggar perjanjian mereka dengan Allah dan Rasul-Nya, kecuali Allah akan menjadikan musuh mereka dari kalangan orang kafir berkuasa atas mereka, lalu musuh tersebut mengambil sebahagian apa yang mereka miliki.

5. Dan selama pemimpin-pemimpin mereka (kaum muslimin) tidak berhukum dengan Kitabullah (al-Quran) dan mengambil yang terbaik dari apa-apa yang diturunkan oleh Allah (syariat Islam), melainkan Allah akan menjadikan permusuhan di antara mereka.” - [HR Ibnu Majah 4009].


Justeru, musibah menerusi penyakit ialah sesuatu wabak dan penyakit yang membahayakan tidak ada sesiapa yang mampu untuk menghapuskannya melainkan dengan izin Allah.

Firman Allah di dalam Surah Yunus ayat 107: Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurnia-Nya.

Allah melimpahkan kurnia-Nya itu kepada sesiapa yang dikendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Antara yang nabi anjurkan ketika berlakunya wabak dan penyakit berjangkit ini ialah bersabar atas ujian Allah serta tidak keluar daripada tempat wabak penyakit.

Sabda Rasulullah: Dari Aisyah berkata; "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah tentang masalah taun lalu baginda memberitahu kepada aku bahawa taun adalah sejenis seksaan yang Allah kirimkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Sesungguhnya Allah menjadikan hal itu sebagai rahmat bagi kaum muslimin. Tidak ada seorang pun yang menderita jika dia bertahan di tempat tinggalnya dengan sabar mengharapkan pahala dan mengetahui bahawa dia tidak terkena musibah melainkan kerana Allah telah mentakdirkan kepadanya maka dia mendapat pahala seperti pahala orang yang mati syahid". - [HR Bukhari 3215]2.


Kembali kepada Allah

Allah telah menurunkan al-Quran kepada baginda Rasulullah supaya disampaikan kepada umatnya. Oleh itu setiap apa yang diminta oleh Allah maka hendaklah kita melaksanakannya.

Jika kita melihat penularan wabak koronavirus disebabkan oleh makanan yang dimakan adalah tidak halal dan tidak baik seperti ular dan kelawar yang menjadi punca wabak.

Umum mengetahui Islam mempunyai garis panduan yang jelas mengenai soal makanan kerana tidak semua yang hidup itu boleh menjadi bahan santapan kerana ia ada mudaratnya kepada manusia tetapi mungkin tidak kepada makhkuk lain.

Oleh itu setiap makanan yang hendak dijamah bukan sahaja perlu halal bahkan hendaklah baik dan suci serta tidak memudaratkan.

Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 168 yang maksudnya; Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.

Demikian juga firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 157 yang maksudnya: Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.

Contoh haiwan yang dianggap baik untuk dimakan seperti binatang ternakan antaranya, unta, lembu, biri-biri, kambing, kuda dan seladang.

Sementara itu semua binatang buas yang bertaring kuat untuk menangkap mangsa adalah haram.

Haiwan tersebut antaranya anjing, babi, serigala, beruang, kucing, ibn awi iaitu sejenis binatang yang besar sedikit daripada musang dan lebih kecil daripada anjing dan kukunya panjang.

Selain itu, gajah, singa, harimau, kera dan seumpamanya haram dimakan. - (Rujuk Kitab al-Fiqh al-Manhaji, 1/499).

Burung yang haram dimakan ialah yang mempunyai kuku yang kuat dan boleh melukakan, seperti burung hering, semua jenis burung helang, iaitu saqr, baz, syahin dan burung rajawali.

Daripada Ibn Abbas R.A beliau berkata yang maksudnya: Rasulullah SAW melarang memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam. - Riwayat Muslim (1934) dan Abu Daud (3803).

Dalam pada itu semua binatang yang disunatkan bunuh adalah haram untuk dimakan. Contohnya, ular, kala jengking, gagak, helang, tikus dan semua binatang yang memudaratkan.

Binatang tersebut dan seumpamanya adalah haram dimakan sama ada dianggap elok oleh orang Arab ataupun tidak. Ini kerana hadis telah menghukumkannya sunat dibunuh dan kebanyakannya pula menjijikkan orang Arab. (Rujuk Kitab al-Fiqh al-Manhaji, 1/500).

Daripada Aisyah R.A, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya; Kesemua lima jenis binatang adalah fasik, yang boleh dibunuh walaupun di Tanah Haram, iaitu gagak, helang, kala jengking, tikus, dan anjing ganas. - Riwayat al-Bukhari (1732) dan Muslim (1198).   



Berdoa kepada Allah

Nabi Muhammad SAW mengajarkan kepada kita supaya kita sentiasa berdoa kepada Allah agar terhindar daripada segala penyakit dan wabak.

Antara doa yang boleh kita amalkan ialah: Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudharatan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Ia dibaca sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga Subuh.

Dan barang siapa yang membacanya ketika subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).” - [HR Abu Daud 5088]

Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk. - [HR Abu Daud 1554].

Semoga Allah sentiasa memelihara kita di dunia dan juga di akhirat serta dijauhkan segala penyakit dan sentiasa menjadikan Negara Malaysia yang tercinta dalam keadaan aman dan damai.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim). Beliau juga merangkap Panel Rujuk Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia, YADIM.

2 comments:

  1. Izin promo ya Admin^^

    Bosan gak tau mau ngapain, ayo buruan gabung dengan kami
    minimal deposit dan withdraw nya hanya 15 ribu rupiah ya :D
    Kami Juga Menerima Deposit Via Pulsa
    - Telkomsel
    - XL axiata
    - OVO
    - DANA
    segera DAFTAR di WWW.AJOKARTU.COMPANY ....:)

    ReplyDelete
  2. Play free online blackjack in lacbet.com dafabet dafabet 우리카지노 계열사 우리카지노 계열사 카지노 카지노 우리카지노 우리카지노 188bet 188bet 401 Situs Judi Slot Online Resmi 2021 - Online Casino

    ReplyDelete

Lain-lain